Tuesday, September 25, 2012

Artikel BH Pilihan - Horoskop Perosak Akidah

Assalamu'alaikum..

Artikel ini menarik perhatian saya hari ini. Biarpun telah lama saya tahu dan saya cuba sampaikan kepada orang2 yang disayangi, tapi biasanya jawapan2 ini yang saya dapat:

" Ala, saja baca...Suka-suka...bukannya percaya pun..."

" Baca boleh, percaya jangan."

Yang sebenarnya, BACA PUN TAK BOLEH!

Silakan menghadam isi artikel ini.




Tukang tilik, dukun yang membuat ramalan boleh bawa kekufuran

Adakah umat Islam menyedari perbuatan menyelidik tarikh dan bulan kelahiran untuk mengetahui sikap atau tingkah laku peribadi sendiri atau orang lain adalah sebahagian amalan menilik nasib atau membaca horoskop?

Mungkin ramai yang terkejut dengan pertanyaan ini, namun hakikatnya, mengkaji, menelaah dan menilik sifat atau sikap peribadi menerusi tarikh dan bulan kelahiran juga tergolong dalam perbuatan menilik nasib seperti membaca ramalan bintang zodiak.

Perbuatan kufur

Pastinya, ramai umat Islam tidak menyangka, mengorek rahsia dan sikap peribadi menerusi tarikh serta bulan kelahiran yang dipopularkan beberapa pakar dan penceramah motivasi kebelakangan ini adalah tergolong dalam perbuatan kufur, sama seperti mendatangi ahli nujum atau tukang sihir termasuk bomoh.

Perkara ini ditegaskan Aishah P Othman ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pembabitan Remaja Terhadap Horoskop dan Kesannya Terhadap Akidah’ dalam Seminar Akidah Peringkat Kebangsaan Pemerkasaan Pemahaman Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah Dalam Era Pasca Moden di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Pelajar peringkat sarjana dalam Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam UKM itu, berkata perbuatan mengetahui rahsia peribadi menerusi kajian terhadap tarikh dan bulan kelahiran adalah sebahagian daripada perbuatan membaca horoskop atau ramalan nasib berdasarkan kedudukan bintang.

Jauhi kaji dua rahsia ‘popular’

Malah beliau menasihatkan umat Islam supaya menjauhi perbuatan mengkaji dua rahsia ‘popular’ itu kerana ia jelas dan terang mempunyai unsur horoskop yang boleh merosakkan akidah umat Islam atau menjadi kufur jika mempercayai apa yang disebut di dalamnya.

“Mengetahui rahsia tarikh lahir dan bulan kelahiran adalah perbuatan kufur kerana menyamai perbuatan mempercayai horoskop dan boleh mendorong seseorang mempercayai atau memperakui sikap, tindakan serta peribadi individu yang dirujuk dengan tarikh atau bulan dilahirkan.

“Adalah lebih baik menjauhi perbuatan itu kerana ia akan menjadikan kita kufur jika mempercayai sikap atau tingkah laku seseorang itu seperti yang dijelaskan dalam rahsia tarikh dan bulan kelahiran, sedangkan yang menentukan itu semua adalah Allah SWT yang Maha Kuasa,” katanya.

Aishah sebelum itu menjelaskan, amalan membaca horoskop atau menilik nasib sama ada menggunakan bintang atau apa saja medium adalah salah satu bentuk kepercayaan dan budaya yang menjadi ikutan masyarakat dunia berlatar belakang pelbagai agama serta bangsa sejak berabad lamanya.

Solat tak diterima 40 malam

Malah katanya, Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan bertanya kepada dia sesuatu maka tidak diterima solatnya selama 40 malam.” (Sahih Muslim)

Dalam hal ini katanya, masyarakat Islam sama ada secara sedar atau tidak, sebenarnya tidak terkecuali daripada pengaruh horoskop tanpa mengetahui ia boleh menyebabkan berlaku krisis akidah.

Katanya, isu horoskop dalam sudut akidah tidak boleh dipandang remeh kerana ia umpama virus yang diserap masuk dalam pemikiran umat Islam dan secara langsung merosakkan akidah serta pegangan Islam.

Justeru, umat Islam katanya perlu menjauhi dan meninggalkan amalan mengikuti perkembangan horoskop atau yang seumpamanya kerana ia hanya merosakkan akidah, menyebabkan jauh daripada rahmat dan petunjuk Allah SWT.

Beliau berkata, kejahilan umat Islam mengenai persoalan menilik nasib menyebabkan berlakunya krisis akidah dalam kalangan umat Islam.

Katanya, ada masyarakat dan individu tidak didedahkan dengan ilmu agama sejak kecil, menjadikan mereka tiada pengetahuan agama lalu mengambil mudah apa saja ditaburkan termasuk ramalan horoskop tanpa menyedari bahayanya kepada akidah mereka.

Horoskop bentuk hiburan

“Ada juga yang mengikuti perkembangan horoskop sebagai salah satu bentuk hiburan yang dibaca suka-suka untuk menambah maklumat atau mengisi masa lapang tanpa disedari permulaan tanpa niat ini boleh menjurus kepada kepercayaan ramalan yang dibaca bertepatan dengan kejadian dialami,” katanya.

Beliau menegaskan, horoskop adalah wabak serta penyakit yang menjejaskan mutu dan kualiti kehidupan seseorang bahkan lebih membahayakan, ia berupaya memusnahkan akidah seorang Muslim.

Horoskop juga katanya umpama saham yang terus-terusan menyumbang dosa dalam catatan amalan kita.

Katanya, Nabi Muhammad SAW menyamakan ilmu nujum dengan ilmu sihir kerana ia mencemari kesucian nas al-Quran. Bahkan semakin seseorang menambah ilmu nujumnya, maka semakin bertambahlah dosanya, semakin menyala api neraka untuknya.

“Nabi SAW bersabda, ahli nujum adalah bomoh, bomoh adalah tukang sihir dan sihir adalah kufur." Hakikatnya, dukun, bomoh, tukang tilik dan peramal itu berdusta, mengada-adakan sesuatu cerita dan berlebih-lebih dalam menyampaikan sesuatu yang mereka tidak tahu,” katanya.

Telah diriwayatkan oleh Abdullah ibn Abbas ra Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

Sesiapa yang mengambil sebahagian dari ilmu bintang (nujum) maka sesungguhnya dia telah mengambil sebahagian dari ilmu sihir yang setiap kali bertambah ilmu bintangnya (berkaitan ramalan) maka bertambah pulalah ilmu sihirnya .

(hadith sahih diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasaie dan Ahmad).

Sekian.
Wassalam...


Impianku Menjadi Isteri Solehah
Membina Baiti Jannati

No comments:

Post a Comment

Orang Suka Beri Pendapat

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers